Friday 26 July 2013

Kepentingan Vitamin

Kepentingan Vitamin

Vitamin adalah zat gizi yang amat diperlukan tubuh bagi memudahkan kita melakukan aktiviti seharian.  Kekurangan vitamin boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada pelbagai penyakit yang menjejaskan tahap kesihatan.

Vitamin A

Merupakan salah satu daripada keluarga vitamin larut lemak.  Pengambilan vitamin A bertujuan untuk membantu tumbesaran, kesihatan gigi dan memelihara pengelihatan.  Kandungan vitamin ini boleh didapati dalam sayuran seperti bayam dan kangkung, buah-buahan, hati, susu, mentega dan telur.

Vitamin B

Terdiri daripada 8 jenis iaitu B1 (Tiamin), B2 (Riboflavin), B5 (Pantothenic Acid), B6 (Pyridoxine), B7 (Biotin), B9 (Folat) dan B12 (Kobalamin).  Vitamin B kompleks ini berperanan penting dalam menjaga kesihatan.  Ini kerana ia amat diperlukan bagi menjaga sistem penghadaman, menyerap nutrien dan sistem saraf.  Sumber vitamin B boleh diperoleh daripada sayuran seperti lobak merah, daging, ayam, ikan, kekacang dan bijiran termasuk gandum.

Vitamin C

Antioksidaan yang bermanfaat bagi pertumbuhan  dan penggantian tisu, pembentukan kolagen serta membantu gusi sihat.  Di samping itu, vitamin C turut meningkatkan penyerapan zat besi, mencegah pembekuan darah dan mempercepatkan proses penyembuhan luka.  Ia terkandung dalam buah-buahan termasuk buah beri dan sayuran hijau seperti asparagus dan bayam.

Vitamin D

Diperlukan bagi merangsang tumbesaran tulang dan gigi yang sihat.  Pengambilan vitamin D juga dapat mencegah otot menjadi lemah.  Antara makanan yang mengandungi vitamin D boleh didapati daripada hasil tenusu, telur, hati dan minyak ikan.  Ia juga amat istimewa kerana terbentuk daripada tindak balas cahaya matahari pada kulit.

Vitamin E

Memperbaiki peredaran darah dan tisu di samping mencegah dan menggalakkan kulit serta rambut yang sihat.   Zat ini juga dipercayai dapat mencegah kanser dan penyakit katarak.  Vitamin E mudah didapati dalam kekacang,  ubi kentang, gandum dan rumpai laut.

Vitamin K

Amat bermanfaat kepada penghidap osteoporosis.   Ini kerana ia dapat membaiki pertumbuhan tulang selain membantu pembekuan darah.  Vitamin K juga berupaya meningkatkan daya tahanan jangkitan kepada kanak-kanak dan menolong mencegah kanser.  Khasiat vitamin K boleh diperoleh daripada bijiran,  sayuran seperti asparagus dan kubis bunga serta hati.

ARTIKEL INI DITULIS OLEH SUZANA ABU DAUD

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...